Label

Rabu, 16 Mei 2018

Safawi enggan mengalah


SUKAN»Bola
Rabu, 16 Mei 2018 | 5:15pm
 
AKSI Muhammad Safawi Rasid (kanan) diasak pemain Selangor,Kannan Kalaiselvan (kiri) pada perlawanan saingan Liga Super pada 2 Mei lalu. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Safawi enggan mengalah
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Penyerang muda, Safawi Rasid bersedia untuk terus bersaing dengan pemain import meskipun kehadiran Harry Novillo dan Jorge Santos Silva bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menggugat peluang pemain tempatan.

Penyerang berusia 22 tahun itu mengakui persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan semakin sengit, namun itu bukan alasan untuk penyerang tempatan cepat mengalah.  

"Memang persaingan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan semakin sukar sebab JDT ada pemain import baharu. Kalau kita lihat Novillo dan Silva ini pemain yang bagus dan boleh meningkatkan prestasi pasukan.  

"Dan bagi pemain lain kena terus berusaha keras untuk mendapat tempat bermain. Saya percaya peluang sentiasa ada buat mana-mana pemain jika memberikan kesungguhan dalam latihan dan perlawanan," katanya.  

Selain Novillo dari Perancis dan Silva (Brazil), Safawi turut bersaing dengan pemain tempatan iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok dan Syafiq Ahmad untuk merebut posisi serangan kelab Harimau Selatan itu.  

Safawi kini berkongsi kedudukan bersama Safee Sali (PKNS FC) dan Hafiz Ramdan (PKNP FC) sebagai penjaring terbanyak liga bagi pemain tempatan dengan tiga gol selepas 10 perlawanan.  

Pemain kelahiran Terengganu itu berharap akan terus konsisten bukan saja membantu kemenangan pasukan, malah mengejar kedudukan penjaring terbanyak yang kini didominasi oleh penyerang import Selangor, Rufino Segovia dengan lapan gol.  

"Penyerang setiap kali beraksi mesti mahu menjaringkan gol, saya mahu membuktikan bahawa penyerang tempatan juga boleh melakukannya kerana itu tugas sebagai penyerang. Tapi apa yang paling penting adalah kemenangan pasukan," kata Safawi.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 16 Mei 2018 | 5:15pm

Ahad, 11 Jun 2017

Piala FA: Malang buat Pulau Pinang



 
ARKIB : 09/02/2006
Pemain Pahang, Jalaluddin Abu Jaafar (depan) diasak oleh pemain KL Kesas, Khairul Adzuan Abd. Kadir pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Pahang menang 6-0.

KUALA LUMPUR - Tujuh pasukan daripada Liga Super tidak menghadapi laluan sukar melainkan Pulau Pinang apabila melepasi ujian pertama untuk memahatkan kemenangan awal pada saingan pusingan pertama Piala FA bermula semalam.

Hanya Pulau Pinang akur dengan kehebatan Kelantan apabila tewas 0-2 di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV.

Dalam saingan lain, kejutan hanya berlaku apabila pendahulu Kumpulan B Liga Perdana Melaka menerima kejutan tewas 4-0 kepada NTFA yang menduduki tangga terbawah Kumpulan A di Stadium Negeri Batu Kawan.

Tujuh pasukan Liga Super yang mencatat kemenangan selesa ialah Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Telekom Melaka, Perlis dan MPPJ.

Juara Piala FA musim lalu, Selangor mengetuai pasukan daripada Liga Super mencatat kemenangan selesa apabila mudah menjinakkan MPSJ 4-0 pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Empat gol menerusi Bambang Pamungkas pada minit ke-15, 25, 39 dan 85 sudah cukup menceriakan kembali Selangor untuk mempertahankan gelaran yang dijulang musim lalu.

Naib juara Perak pula cemerlang menjinakkan Kuala Lumpur di Stadium Perak.

Pahang yang belum menjulang Piala FA mencipta kemenangan berpesta gol apabila menewaskan pasukan berstatus kelab, Kesas 6-0 di Stadium Darul Makmur.

Josiah Seton mencipta hatrik diikuti oleh dua jaringan pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin mencipta dan satu gol menerusi Subri Sulong.

Perlis juga turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman.

Dua gol menerusi Philimon Chepita pada minit ke-83 dan 89 sudah cukup menceriakan Perlis yang akan menanti kunjungan Kedah di gelanggang sendiri pada 1 Mac nanti.

Gol tunggal Kedah dijaringkan oleh Paulo Roberto da Silva pada minit ke-41.

Telekom Melaka turut bergaya apabila menewaskan bekas juara 1995, Sabah 3-0 di Stadium Hang Jebat.

Begitu juga dengan pendahulu Liga Super, MPPJ tidak berdepan tugas rumit apabila mudah mengetepikan cabaran KL Plus dengan kemenangan 3-0 di Stadium Petaling Jaya

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jkyZwcO1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 30 April 2017

Kedah, Perlis ke Bukit Jalil

ARKIB : 28/11/2004
Pemain Pahang, Jalaluddin Jaafar (kiri) berjaya mengawal bola walaupun diasak pemain Perlis, Mohd Nazaruddin Mohd Zain (terjatuh) pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, semalam. Perlis layak ke akhir menerusi agregat 3-2. - Gambar Ghazali Basri.



PENYERANG import, Phillimon Chipeta muncul wira apabila memastikan Perlis layak ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia buat kali pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 Disember ini.
Sekalipun Perlis tewas 1-2 kepada Pahang dalam perlawanan saingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur semalam, skuad Singa Utara tetap mara menerusi kemenangan agregat 3-2.
Jaringan tunggal Perlis di minit-minit terakhir babak perlawanan menerusi Chipeta terus melenyapkan harapan Pahang yang berjaya mulanya menyamakan agregat 2-2 menerusi jaringan Fadzli Shaari (m-45) dan Anthony Milicic (m-47).
Perlis menang 2-0 dalam saingan pertama separuh akhir di Stadium Utama Selasa lalu menerusi jaringan Chipeta dan Joao Bandoch.
Sekalipun Perlis tersentak selepas ketinggalan 0-2 disusuli pemain pertahanan, Mohd. Feriza Ismail dibuang padang pada minit ke-54, ia tidak menjejaskan semangat membara anak didik Norizan Bakar untuk bangkit melenyapkan kehebatan juara sulung Liga Super musim ini.
Begitupun perlawanan tersebut dicemari insiden penyokong tuan rumah masuk ke padang sejurus jaringan Chipeta namun tindakan cepat Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan.
Ketika perlawanan seakan berlarutan sehingga ke permainan masa tambahan berikutan kedudukan agregat terikat 2-2, Chipeta menolak masuk gol tunggal perlawanan yang sudah cukup memastikan Perlis ke akhir dengan agregat 3-2.
Sejurus babak bermula Pahang yang bersemangat bermain di hadapan 30,000 penyokong lebih banyak menguasai pentas saingan dengan asakan bertali arus ketika Perlis lebih banyak bertahan.
Namun Pahang lebih awal mencemaskan benteng pertahanan Perlis.
Seawal minit kelapan, rembatan kencang Simon Colosimo sekadar mengenai tiang gol ketika penjaga gol pelawat, Amran Omar sudah tertewas.
Belum sempat skuad Singa Utara mengatur gerak, mereka tersentak lagi apabila tandukan kencang ketua pasukan Pahang, Hairuddin Omar berjaya ditepis keluar oleh Amran Omar pada minit ke-13.
Pada minit-minit terakhir babak pertama, gol yang dicari oleh Pahang menyusul. Ia bermula daripada sepakan percuma Hairuddin sebelum ditanduk oleh Indra Putra Mahayuddin. Bola yang bergolek di depan pintu gol berjaya di tolak masuk oleh Fadzli Shaari dengan kaki kiri menewaskan Amran.
Sejurus dua minit babak kedua berlangsung, Pahang mengikat agregat 2-2 menerusi jaringan penyerang importnya, Milicic yang melakukan gerakan solo.
Tonggak pertahanan Perlis, Mohd. Feriza Ismail di buang padang pada minit ke-54.
Di minit-minit terakhir Perlis berjaya mencipta jaringan tunggal perlawananan sekali lagi menerusi Chipeta untuk menjadikan kedudukan agregat 3-2.
Oleh NAZARUDDIN SHAHARI
BERAKSI pincang tanpa penyerang utama tidak langsung menghalang Kedah daripada layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan Sabah menerusi agregat 1-0 di separuh akhir kedua di Stadium Darulaman, malam tadi.
Ketiadaan Akmal Rizal Rakhli yang cedera dan Marcos Magno Thavares yang digantung satu perlawanan memberi laluan kepada pemain tengah, Mohd. Khairul Ismail untuk mencipta nama dan muncul wira Kedah.
Tandukan tajam Khairul hasil hantaran lintang Ooi Hoe Guan pada minit ke-69 merupakan gol tunggal perlawanan yang memisahkan nasib kedua-dua pasukan.
Kedah yang diikat 0-0 oleh Sabah dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Likas, Selasa lalu sepatutnya boleh menang lebih selesa jika sepakan penalti Christiano Selbach berjaya disempurnakan pada minit ke-50.
Kedua-dua pasukan jelas terlalu berhati-hati sebaik memulakan permainan babak pertama hingga menyaksikan tidak banyak gerakan-gerakan bahaya diatur.
Begitu pun jentera serangan Sabah yang diterajui Keith Gumbs dan Andrezinho Esposito lebih agresif untuk cuba membolosi kubu tuan rumah.
Bagaimanapun pertahanan Kedah yang diketuai Cornelius Hugging bertindak bijak mengekang serangan pasukan pelawat.
Satu-satunya peluang terbaik Sabah di babak pertama apabila memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti Kedah pada minit ke-7 namun sepakan leret Esposito tersasar di sebelah kanan pintu gol Kedah.
Kedah mengubah corak permainan dan mula melancarkan gerakan lebih tersusun.
Kedah memperoleh peluang keemasan pada minit ke-50 apabila Mohd. Rafdi Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Madzalan Emoi.
Bagaimanapun sepakan Selbach ke sebelah kiri pintu gol Sabah berjaya ditepis keluar penjaga gol berpengalaman Sabah, Khairul Azman Mohamad.
Kedah akhirnya memecah kebuntuan apabila hantaran lantaran lintang Hoe Guan di sebelah kiri pintu gol Sabah ditanduk cantik Mohd. Khairul yang tidak dikawal.
Kedah hampir menambah jaringan dua minit selepas itu tetapi Rafdi yang melakukan larian cantik sekali lagi gagal melakukan penyudah apabila menendang bola terus ke kaki Khairul Azman

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fn7fM3eO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 Mac 2017

JARINGAN EMAS JALALUDDIN JAAFAR MEMBAWA PAHANG KE SEPARUH AKHIR.

OLEH -AHMAD BIN YAAKOB
Pahang mengiringi Terengganu ke separuh akhir selepas menang agregat 4-3 ke atas Perlis di Stadium Utama, Kangar dengan gol kemenangan hadir menerusi jaringan emas.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi suku akhir pertama di Kuantan dan perlawanan di Kangar berkesudahan 2-2 dalam waktu permainan sebenar sebelum Jalaluddin Jaafar menjaringkan gol emas seawal minit kedua masa tambahan sudden-death.

Pahang mendahului 1-0 pada minit ke-18 menerusi jaringan Juzaili Samion tetapi Perlis menyamakan kedudukan minit ke-38 hasil jaringan Manzoor Azwira Abdul Wahid untuk menutup babak pertama di Kangar dengan 1-1.

Perlis bagaimanapun berjaya mendahului 2-1 hasil jaringan S. Paidiya Rau minit ke-71 tetapi Shahril Faizal memaksa perlawanan ditentukan ke masa tambahan apabila menyamakan kedudukan 2-2 pada minit terakhir sebelum Jalaluddin menjaringkan gol emas pada masa tambahan.[1]



[1]http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bm5FT6HF © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 17 Disember 2016

Pahang guna sistem serampang dua mata

ARKIB : 31/03/2000
SISTEM penyerang serampang tiga bakal digunakan oleh Pahang apabila melayani kunjungan Johor pada perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok.

Jika sebelumnya cuma Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail kerap menjadi sandaran Tok Gajah memburu gol, gandingan itu kali ini mendapat teman baru dengan kehadiran Wan Ahmad Ridzuan Hussin.

Jurulatih Fuzzeimi Ibrahim percaya, trio penyerang ini bakal menghasilkan lebih banyak pilihan kepada pasukan mencipta jaringan seterusnya memastikan kemaraan Pahang ke suku akhir.

''Apapun, penggunaan khidmat Ridzuan cuma sebagai langkah persediaan. Jika Shahrin Majid masih belum pulih daripada kecederaan, peluang Ridzuan muncul dalam kesebelasan utama terbuka luas,'' katanya.

Shahrin yang berhijrah ke Pahang selepas bersama Selangor musim lalu, mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan Tok Gajah dua hari lalu.

''Disebabkan Shahrin mungkin tiada di bahagian tengah, Ridzuan diharap dapat menutup kekosongan itu. Pahang perlu menang untuk ke suku akhir dan penggunaan tiga penyerang, akan mendekatkan lagi peluang kami,'' katanya.

Ahad lalu, Stadium Pasir Gudang menyaksikan Pahang terikat 2-2 dengan Johor dalam perlawanan pertama pusingan kedua kejohanan kalah mati kebangsaan ini.

Kehadiran Ridzuan mungkin dikaitkan dengan kegagalan barisan penyerang Pahang di Pasir Gudang menyumbat sebarang gol akibat dikawal rapi benteng tuan rumah.

Tok Gajah bagaimanapun mengutip dua golnya itu menerusi pemain pertahanan, Jalaluddin Jaafar dan Mohd. Ali Taha.

''Namun Pahang tidak sesekali memandang mudah saingan Johor. Saya akui, jurulatihnya, Steve Darby pasti merangka strategi tersendiri,'' kata Fuzzeimi lagi.

Beliau menambah, kelebihan bermain di gelanggang sendiri tidak wajar disia-siakan oleh anak buahnya apatah lagi sasaran pasukan ialah mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4T9N1h800 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 15 Disember 2016

Reputasi Pahang masih utuh

ARKIB : 13/02/2000
KETUMPULAN penyudah mungkin menjadi masalah baru Pahang pada perlawanan persahabatan ketiga Khamis lalu tetapi bagi jurulatih Fuzzeimi Ibrahim, dia masih boleh bertolak ansur tentang itu.

Fuzzeimi menganggap, menentang Johor FC di Kuantan itu sekadar perlawanan yang bersifat latihan menjelang saingan bola sepak Liga Malaysia, bulan depan dan anak buahnya tidak perlu didesak bermain bermati-matian.

Skuad Tok Gajah menang 2-0 hasil jaringan Shahrin Majid dan Jalaluddin Jaafar dalam perlawanan yang turut menyaksikan kemunculan semula penyerang harapan, Wan Rohaimi Ismail dan Azizul Kamaluddin itu.

Fuzzeimi juga masih mampu berkompromi biarpun prestasi Rohaimi dan Azizul belum mencapai tahap memuaskan gara-gara baru kembali daripada pembedahan kecederaan kaki masing-masing.

''Kami ada banyak peluang tetapi sulit untuk mencipta jaringan. Saya tidak boleh desak Rohaimi dan Azizul untuk melakukan sesuatu walaupun mereka sendiri yang bertegas mahu bermain.

''Apa pun, menang 2-0 boleh dianggap OK. Dalam pada itu saya lihat aksi pemain lama, Azharuddin Aziz di bahagian tengah turut membawa petanda yang membina buat Pahang,'' katanya. Fuzzeimi turut mempertahankan gandingan eksperimen serangannya, Shahrin-Wan Ridzuan Hussin yang hanya mula digunakan sejak perlawanan persahabatan kedua menentang NS Chempaka di Bentong, minggu lalu.

''Ridzuan mungkin gagal dalam penyudahan kali ini tetapi dia tampak mampu menyesuaikan kedudukannya dalam corak serangan pantas Pahang,'' kata Fuzzeimi lagi.

Walau bagaimanapun, reputasi Pahang selaku juara bertahan Perdana Satu masih lagi dianggap utuh selepas tiga perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan, NS Chempaka dan Johor FC ini.

Pahang seri 1-1 dengan pasukan Perdana Satu, Negeri Sembilan di Paroi tetapi tampak garang ketika membenam dua anggota Perdana Dua, NS Chempaka 3-1 dan anak buah Bruce Stowell 2-0, Khamis lalu.

Skuad Tok Gajah akan menentang Angkatan Tentera Singapura yang dibimbing oleh bekas penyerang sensasi Asia, Fandi Ahmad dalam perlawanan persahabatan keempatnya di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Selasa ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SuqxRLhU © Utusan Melayu (M) Bhd