ARKIB : 09/02/2006
Pemain Pahang, Jalaluddin Abu
Jaafar (depan) diasak oleh pemain KL Kesas, Khairul Adzuan Abd. Kadir pada
perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Pahang menang 6-0.
KUALA LUMPUR - Tujuh pasukan
daripada Liga Super tidak menghadapi laluan sukar melainkan Pulau Pinang
apabila melepasi ujian pertama untuk memahatkan kemenangan awal pada saingan
pusingan pertama Piala FA bermula semalam.
Hanya Pulau Pinang akur dengan
kehebatan Kelantan apabila tewas 0-2 di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV.
Dalam saingan lain, kejutan
hanya berlaku apabila pendahulu Kumpulan B Liga Perdana Melaka menerima kejutan
tewas 4-0 kepada NTFA yang menduduki tangga terbawah Kumpulan A di Stadium
Negeri Batu Kawan.
Tujuh pasukan Liga Super yang
mencatat kemenangan selesa ialah Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan,
Telekom Melaka, Perlis dan MPPJ.
Juara Piala FA musim lalu,
Selangor mengetuai pasukan daripada Liga Super mencatat kemenangan selesa
apabila mudah menjinakkan MPSJ 4-0 pada pusingan pertama Piala FA di Stadium
Nasional Bukit Jalil.
Empat gol menerusi Bambang
Pamungkas pada minit ke-15, 25, 39 dan 85 sudah cukup menceriakan kembali
Selangor untuk mempertahankan gelaran yang dijulang musim lalu.
Naib juara Perak pula cemerlang
menjinakkan Kuala Lumpur di Stadium Perak.
Pahang yang belum menjulang
Piala FA mencipta kemenangan berpesta gol apabila menewaskan pasukan berstatus
kelab, Kesas 6-0 di Stadium Darul Makmur.
Josiah Seton mencipta hatrik
diikuti oleh dua jaringan pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin mencipta
dan satu gol menerusi Subri Sulong.
Perlis juga turut mencatat
kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman.
Dua gol menerusi Philimon
Chepita pada minit ke-83 dan 89 sudah cukup menceriakan Perlis yang akan
menanti kunjungan Kedah di gelanggang sendiri pada 1 Mac nanti.
Gol tunggal Kedah dijaringkan
oleh Paulo Roberto da Silva pada minit ke-41.
Telekom Melaka turut bergaya
apabila menewaskan bekas juara 1995, Sabah 3-0 di Stadium Hang Jebat.
Begitu juga dengan pendahulu
Liga Super, MPPJ tidak berdepan tugas rumit apabila mudah mengetepikan cabaran
KL Plus dengan kemenangan 3-0 di Stadium Petaling Jaya
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jkyZwcO1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan