SUKAN»Bola
Rabu, 16 Mei 2018 | 5:15pm

AKSI Muhammad Safawi Rasid
(kanan) diasak pemain Selangor,Kannan Kalaiselvan (kiri) pada perlawanan
saingan Liga Super pada 2 Mei lalu. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Safawi enggan mengalah
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Penyerang muda,
Safawi Rasid bersedia untuk terus bersaing dengan pemain import meskipun
kehadiran Harry Novillo dan Jorge Santos Silva bersama Johor Darul Ta'zim (JDT)
bakal menggugat peluang pemain tempatan.
Penyerang berusia 22 tahun itu
mengakui persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan semakin sengit, namun
itu bukan alasan untuk penyerang tempatan cepat mengalah.
"Memang persaingan untuk
mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan semakin sukar sebab JDT ada
pemain import baharu. Kalau kita lihat Novillo dan Silva ini pemain yang bagus
dan boleh meningkatkan prestasi pasukan.
"Dan bagi pemain lain kena
terus berusaha keras untuk mendapat tempat bermain. Saya percaya peluang
sentiasa ada buat mana-mana pemain jika memberikan kesungguhan dalam latihan
dan perlawanan," katanya.
Selain Novillo dari Perancis dan
Silva (Brazil), Safawi turut bersaing dengan pemain tempatan iaitu Ahmad Hazwan
Bakri, Darren Lok dan Syafiq Ahmad untuk merebut posisi serangan kelab Harimau
Selatan itu.
Safawi kini berkongsi kedudukan
bersama Safee Sali (PKNS FC) dan Hafiz Ramdan (PKNP FC) sebagai penjaring
terbanyak liga bagi pemain tempatan dengan tiga gol selepas 10 perlawanan.
Pemain kelahiran Terengganu itu
berharap akan terus konsisten bukan saja membantu kemenangan pasukan, malah
mengejar kedudukan penjaring terbanyak yang kini didominasi oleh penyerang
import Selangor, Rufino Segovia dengan lapan gol.
"Penyerang setiap kali
beraksi mesti mahu menjaringkan gol, saya mahu membuktikan bahawa penyerang
tempatan juga boleh melakukannya kerana itu tugas sebagai penyerang. Tapi apa
yang paling penting adalah kemenangan pasukan," kata Safawi.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
16 Mei 2018 | 5:15pm